Definisi pengembaraan ialah proses, cara, perbuatan mengembara. Pengembara juga sering mengalami kelaparan dan kehausan.
Apabila dikaitkan dengan Hikayat Awang Kamaruddin, didapati adanya unsur pengembaraan di dalamnya. Di antara unsur pengembaraan yang dapat dikaji ialah:
1) Pengembaraan Awang Kamaruddin memperisterikan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa ke Negeri Jawa.
2) Pengembaraan Awang Kamaruddin mencari Dang Siti Noralam dan
3) Pengembaraan Awang Kamaruddin membuka pertapaan adiknya.
Awang Kamaruddin dapat melihat melalui kesaktiannya bahawa di Negeri Jawa, Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa sedang bersiap-siap hendak melangsungkan perkahwinan. Disebabkan hendak mencuba kepandaian dan ilmu yang dimiliki, Awang Kamaruddin meminta kebenaran kepada ibunya, Dang Kasuma untuk pergi ke Negeri Jawa. Walaupun pada awalnya, Dang Kasuma melarang akan tetapi Awang Kamaruddin tetap bekeras untuk pergi kerana hendak menguji kekuatan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti.
Awang Kamaruddin pergi ke Negeri Jawa dengan ditemani oleh sepupu-sepupunya iaitu, Awang Sukaim dan Awang Bujang Laila Bongsu. Awang Kamaruddin pergi ke sana dengan menggunakan Anjung Si Lancang Kuning Si Naga Sakti. Setelah Awang Kamaruddin sampai di Istana Besar Negeri Jawa, Awang Kamaruddin disambut oleh Raja Muda Indera Bongsu.
Di Negeri Jawa, Awang Kamaruddin berani masuk ke dalam bilik Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa serta menggunakan ilmu penuduh burung kepada Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa. Ini menyebabkan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti yang sedang bertapa sanggup keluar dari pertapaannya yang tinggal tujuh hari sahaja lagi akan tamat kerana kedatangan gerak hati bahawa tunangnya telah didatangi/dimasuki oleh orang.
Bahkan, Awang Kamaruddin juga mengambil kesempatan dengan memandikan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa menggunakan Langir Warisan Lamang Labai sehingga menyebabkan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa kedinginan. Ini bertujuan agar Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa akan jatuh di tangannya.
Ketika dalam majlis persandingan antara Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti dengan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa, Awang Kamaruddin sendiri telah menapakkan jari manisnya ke atas ubun-ubun Tuan Puteri bukan jari Tuan Pemagat. Bahkan, Awang Kamaruddin mempermain-mainkan Tuan Pemagat dengan mendudukkannya di sebelah kiri sedangkan Awang Kamaruddin sendiri duduk sebelah kanan. Ini menyebabkan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti terasa marah dan mengetahui maksud sebenar Awang Kamaruddin.
Akhirnya peperangan terjadi yang bermula di Panggau Penggangunan, setelah itu berpindah ke Bukit Perhentian lalu berpindah ke Gunong Mega Berangkat selama 3 hari 3 malam kemudian berpindah lagi ke Bukit Tunan selama 7 hari dan terakhir di Gunong Maha Biru. Di Gunong Maha Biru inilah, Awang Kamaruddin meminta pertolongan adik dan 13 orang sepupu-sepupunya.
Disebabkan Awang Kamaruddin dan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti tidak mahu mengalah dan sukar untuk ditewaskan, akhirnya Dang Bongsu membongkar rahsia kelemahan Tuan Pemagat, iaitu nyawanya bukan di badan akan tetapi terletak di dalam anak batu pertapaan yang disimpan oleh ibu angkat dan guru pertapaannya, Tuan Puteri Si Raksasa.
Setelah Dang Kumala menggilirkan keris Awang Kamaruddin ke atas Anak Batu pertapaan Tuan Pemagat, akhirnya Tuan Pemagat pun berasa sangat lemah dan memudahkan Awang Kamaruddin untuk menikam sekali gus membunuhnya. Atas nasihat Dang Kumala dan Dang Bongsu, Awang Kamaruddin pun menghidupkan semula Tuan Pemagat dan para pengikutnya. Akhirnya, Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti pun menyerahkan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa kepada Awang Kamaruddin. Awang Kamaruddin pun membawa isterinya, Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa balik ke Bukit Sinarubai.
2) PENGEMBARAAN AWANG KAMARUDDIN MENCARI DANG SITI NORALAM
Gambar Perhiasan
Setelah beberapa lama Awang Kamaruddin membawa pulang Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa di Bukit Sinarubai, timbulah niat Awang Kamaruddin hendak mengahwini Dang Siti Noralam, iaitu tunangnya sedari kecil dan untuk menunaikan kehendak atau kemahuan ibunya agar mereka menjadi suami isteri. Niat tersebut diperkenankan oleh isterinya Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa di samping restu daripada ibunya sendiri, Dang Kasuma.
Awang Kamaruddin pun menyuruh Awang Abdul Mumin dan Awang Si Mutaram untuk meminang Dang Siti Noralam di Bukit Surau. Walau bagaimanapun peminangan tidak bersambut kerana Dang Siti Noralam telah melarikan diri ke Hulu Negeri Jawa disebabkan merajuk tidak diperisterikan oleh Awang Kamaruddin dan jauh hati mengenangkan hinaan Awang Kamaruddin mengenai keadaan dirinya yang dikatakan hodoh, iaitu hitam dan beripil serta berhingus dengan rambut pendek macam janggut bubuk.
Awang Kamaruddin bersama-sama Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa, Awang Sukaim dan Awang Bujang Laila Bongsu pun pergi ke Hulu Negeri Jawa untuk mencari Dang Siti Noralam. Setelah sampai di Hulu Negeri Jawa, mereka pergi di istana Tuan Puteri Si Raksasa Anak Hantu yang sengaja didatangi oleh Dang Siti Noralam supaya ditelan oleh Tuan Puteri Si Raksasa.
Awang Kamaruddin dan Tuan Puteri Si Raksasa Anak Hantu pun berperang setelah Tuan Puteri Si Raksasa tidak mahu menyerahkan Dang Siti Noralam. Tuan Puteri Si Raksasa dapat dibunuh dan didapati bahawa Dang Siti Noralam telah menjadi serbuk putih yang disimpan di dalam bangsi. Awang Kamaruddin pun menghidupkan semula Dang Siti Noralam dengan menggunakan Aying Mawal dan Minyak Si Lompat Pagar serta digunakannya Minyak Penuduh Burung untuk melembutkan hati Dang Siti Noralam yang masih merajuk dan marah. Akhirnya, Awang Kamaruddin berjaya memujuk Dang Siti Noralam dan membawanya balik ke Bukit sinarubai untuk melangsungkan perkahwinan mereka di sana.
3) PENGEMBARAAN AWANG KAMARUDDIN MEMBUKA TAPAAN ADIK-ADIKNYA.
Gambar Perhiasan
Gambar Perhiasan
Sebelum Awang Kamaruddin melangsungkan perkahwinan dengan Dang Siti Noralam, Awang Kamaruddin bertanya kepada ibunya, Dang Kasuma, sama ada dia mempunyai lagi adik selain Dang Kumala kerana untuk meramai-ramaikan majlis persandingannya nanti. Dang Kasuma memberitahu bahawa dia memang mempunyai 2 orang adik selain Dang Kumala, iaitu Sultan Bongsu dan Tuan Puteri Kumala Bongsu, yang sedang ditapakan oleh ayahnya, Lamang Labai di dalam sebiji Buah Pinang Si Gangga Wari yang terletak di tepi laut. Kebetulan Awang Kamaruddin sendiri yang diamanahkan oleh Lamang Labai untuk membuka tapaan tersebut.
Dengan menggunakan kesaktiannya, Awang Kamaruddin menukar dirinya menjadi lalat kuning dan pergi ke tepi laut untuk mengambil buah pinang tersebut. Setelah berjaya membawa balik buah pinang tersebut, Awang Kamaruddin menukar kembali dirinya yang asal dan membuka tapaan tersebut di hadapan Dang Kumala. Awang Kamaruddin menghidupkan semula adik-adiknya dengan menggunakan Aying Mawal dan Minyak si Lompat Pagar sebanyak 3 titik, iaitu titik pertama menjadi bentuk manusia, titik kedua menjadi bernyawa dan titik ketiga menjadi Sultan Bongsu dan Tuan Puteri Kumala Bongsu. Selepas itu, baharulah Awang Kamaruddin memandikan adik-adiknya dengan menggunakan Langir Warisan agar mereka nampak bersemangat, kacak dan cantik dipandang. Mereka pun dibawa berjumpa dengan Dang Kasuma untuk bertangas dengan kemenyan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan