Perbandingan Watak

Watak ialah pelaku yang memainkan peranan dalam sesebuah cerita. Watak diceritakan oleh pengarang secara luaran dan dalaman. Watak berfungsi untuk menggerakkan dan mengembangkan jalan cerita. Biasanya, watak terdiri daripada manusia. Adakalanya pengarang memaparkan watak binatang atau objek lain untuk menggerakkan cerita.

Perwatakan pula menggambarkan ciri dalaman watak  (perwatakan dalaman) dan luaran watak (perwatakan luaran). Ciri dalaman watak meliputi aspek kejiwaan watak yang positif dan negatif. Perwatakan positif seperti rajin, berani, penyabar, berdedikasi. Perwatakan negatif pula seperti pemalas, pendendam, pemarah, bakhil, dan iri hati. Manakala, ciri luaran watak pula dapat dilihat dengan mata kasar, seperti berambut ikal, berbadan gemuk, berkulit hitam, gagah dan tampan. Oleh itu, perbandingan watak ini dilakukan bertujuan untuk menunjukkan perbezaan dan persamaan di antara watak-watak dari segi kekuatan, kesaktian, nasib dan lain-lain.

LAMANG LABAI DAN AWANG KAMARUDDIN

                              
       

Kedua-duanya watak ini tinggal di Kampung Bukit Sinarubai, Negeri Timur sehingga ke akhir hayat mereka.
        Tempat mereka menuntut ilmu juga serupa, kedua-duanya berguru di Gadung Batu, Bukit Si Guntang daripada Raja Jin Tujuh Seperadian.  Nama ketiga-tiga guru mereka itu ialah Raja Jin Betara Guru, Raja Jin Betara Kala dan Raja Jin Betara Wisnu.  Ketika berguru, mereka telah mempelajari banyak ilmu, seperti ilmu sakti, ilmu silat, ilmu kebal, ilmu pemikat dan sebagainya.
        Masing-masing juga mempunyai dua orang isteri.  Isteri pertama Lamang Labai ialah Dang Kasuma, manakala, isteri keduanya tidak dinyatakan namanya.  Manakala, isteri pertama Awang Kamaruddin ialah Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa.  Isteri keduanya, Dang Siti Noralam.
        Kedua-dua watak juga telah merampas tunangan orang dan dapat menewaskan musuh masing-masing.  Lamang Labai telah berjaya menewaskan Anggayan Damit dan merampas tunangnya, Dang Kasuma.   Manakala, Awang Kamaruddin merampas tunang Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti iaitu Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa. Awang Kamaruddin juga telah menewaskan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti dalam pertarungan.
        Perbezaan mereka adalah dari segi bentuk fizikal.  Tubuh Lamang Labai hitam, berkurap-kurap dan berkedal-kedal.  Sedangkan, tubuh Awang Kamaruddin menarik (bidang nipis) dan rupa parasnya pula tampan.
        Dari segi pekerjaan pula, Lamang Labai telah bekerja sebagai petani iaitu berpadi bukit dan berkebun buah-buahan seperti buah kelapa, jambu, pisang dan sebagainya.  Sedangkan, Awang Kamaruddin pula merupakan seorang raja di Negeri Timur.  Kegemarannya pada masa lapang ialah bermain gasing di Bukit Pergasingan.
        Mereka memiliki cincin permata “Mutika Bumi” dalam masa yang berlainan, Lamang Labai memperolehinya dari Raja Jin Tujuh Seperadian sewaktu berguru di sana.  Sedangkan, Awang Kamaruddin pula memperolehi cincin tersebut  atas peninggalan ayahnya untuk dijadikan bekal sewaktu berguru dengan Raja Jin Tujuh Seperadian bagi membuktikan yang ia merupakan anak kepada Lamang Labai.
        Perbezaan seterusnya ialah cara kedua-duanya mengetahui dan mendapati terdapatnya gadis cantik.  Lamang Labai mengetahui adanya gadis cantik yang tiada tandingannya di Negeri Timur hanya setelah mendengar khabar daripada kawan-kawannya.  Gadis tersebut bernama Dang Kasuma.   Sedangkan, Awang Kamaruddin mengetahui adanya gadis cantik setelah melihat melalui kesaktiannya.  Gadis tersebut duduk di bilik peraduan dan dikatakan sedang bersiap-siap untuk mengadakan majlis perkahwinannya dengan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Bongsu Baginda Indera Sakti.
        Perbezaan seterusnya boleh dilihat ketika kedua-duanya menewaskan musuh.  Sewaktu peperangan, Lamang Labai dapat menewaskan musuhnya, Anggayan Damit tanpa bantuan siapa-siapa.  Sedangkan Awang Kamaruddin dapat menewaskan musuhnya, Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti dengan bantuan Awang Sukaim, Si Bujang Laila Bongsu, adiknya Dang Kumala berserta 13 orang sepupu-sepupunya yang lain.
        Perbezaan seterusnya boleh dilihat apabila musuh dapat ditewaskan.  Lamang Labai merasa menyesal setelah dapat membunuh musuhnya setelah mendapati bahawa musuhnya mempunyai seorang adik perempuan bernama Dang Kumala yang sama cantik dengan Dang Kasuma.  Jika ia mengetahui perkara ini terlebih awal, tidaklah ia berebut tunang dengan Anggayan Damit.  Sedangkan, Awang Kamaruddin tidak merasa menyesal setelah dapat membunuh Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti kerana dengan berbuat demikian, bolehlah ia mendapatkan tunang Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti.  Namun, Tuan Pemagat dihidupkan semula oleh Awang Kamaruddin atas dasar peri kemanusiaannya setelah adiknya, Dang Kumala menyuruhnya untuk berbuat demikian.
        Dari segi bilangan anak pula, Lamang Labai mempunyai 4 orang anak dari 2 orang isteri.  Dari isteri pertama, dia memperolehi 2 orang anak bernama Awang Kamaruddin dan Dang Kumala.   Manakala, dari isteri kedua, ia mendapat 2 orang anak lagi iaitu Sultan Bongsu dan Tuan Puteri Kumala Bongsu yang ditapakan di dalam buah pinang Si Gangga Wari di tepi laut.  Sedangkan, Awang Kamaruddin mempunyai seorang anak sahaja dari isteri tuanya.  Anaknya bernama Awang Amir Shamsu.  Manakala, dari isteri keduanya, ia tidak memperolehi anak.
        Di akhir hayat, Lamang Labai dikatakan sakit tenat setelah menataki/menyiangi hutan di Luagan Tetanam.   Akibat ketenatan penyakitnya, ia akhirnya meninggal dunia.  Sedangkan, Awang Kamaruddin dikatakan bertapa di danau di Hulu Banjarmasin dengan tujuan untuk mengabdikan diri kepada Tuhan.

ANGGAYAN DAMIT DAN TUAN PEMAGAT BONGSU BAGINDA INDERA SAKTI

            


Dari segi tunang, kedua-dua watak mempunyai tunang yang telah dirampas oleh musuh.  Tunang Anggayan Damit bernama Dang Kasuma yang dirampas oleh Lamang Labai.  Manakala, tunang Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti bernama Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa telah dirampas oleh Awang Kamaruddin.
        Kedua-dua watak tidak pernah mahu menyerah kalah ketika bertarung bersama musuh masing-masing.  Anggayan Damit enggan menyerahkan tunangnya kepada Lamang Labai kerana tidak mahu digelar lelaki dayus.  Begitu juga dengan Tuan Pemagat yang enggan menyerahkan tunangnya kepada Awang Kamaruddin selagi ia belum mati di tangan Awang Kamaruddin.
        Kedua-dua watak juga tewas sewaktu berperang dengan musuh.   Anggayan Damit tewas akibat tikaman keris musuh setelah berhempas pulas mereka berkelahi.  Begitu juga dengan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti tewas di tangan musuh setelah keris musuh (yang diasah dengan anak batu pertapaan kepunyaannya) telah mengenai dirinya.  Perbezaannya,  Tuan Pemagat dihidupkan semula oleh musuhnya atas permintaaan Dang Kumala, sedangkan Anggayan Damit terus mati tanpa dihidupkan semula.
        Perbandingan seterusnya ialah dari segi perasaan, kedua-duanya mudah cemburu dan panas baran.  Anggayan Damit cemburu ketika musuhnya Lamang Labai menghidangkan bekal sirih pinang sekapur yang dibuat oleh tunangnya untuk dihidangkan sebelum berlangsungnya pertarungan.  Akibat rasa cemburu, ia telah menikam Lamang Labai berhabis-habisan, namun, tubuh Lamang Labai kebal. 
Manakala, Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti pula cemburu ketika musuhnya mendudukkan ia di sebelah kiri pengantin perempuan, sedangkan musuh sendiri duduk di sebelah kanan pengantin perempuan.  Akibat rasa cemburu dan marah, ia telah memaki-hamun dan menyumpah-nyumpah musuh lalu mengajak si musuh untuk berperang.
        Dari segi kedudukan dan tempat tinggal, Anggayan Damit merupakan manusia biasa yang kaya.  Hartanya banyak iaitu 7 gedung di darat dan 7 gedung di laut.  Ia tinggal di Negeri Timur tetapi tidak dinyatakan nama kampungnya.  Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti juga manusia biasa tetapi terdiri daripada golongan istana iaitu anak kepada Raja Pemagat dan Tuan Puteri Permaisuri Kumala Bongsu.  Asalnya dari Tanjung Keinderaan tetapi semenjak kecil lagi tinggal di Bukit Si Guntang-guntang kerana bertapa.
        Seterusnya, dari segi cara kedua-duanya mengetahui bahawa tunang mereka dirampas.  Anggayan Damit mengetahui tunangnya dirampas setelah mendapat khabar daripada rakan-rakan Dang Kasuma yang telah memberitahu hal tersebut kepada orang tua-tua di kampung.  Apabila mengetahui hal tersebut, ia lalu bercadang dan merancang hari untuk beradu tenaga dengan Lamang Labai.  Manakala, Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti pula mengetahui tunangnya dirampas/diganggu apabila ia mendapat firasat/alamat ketika ia di dalam pertapaan.  Disebabkan firasatnya, ia terpaksa menamatkan pertapaannya terlebih awal walaupun pertapaannya hanya tinggal 7 hari sahaja lagi dengan tujuan untuk menentang Awang Kamaruddin dari terus menganggu tunangnya tersebut.
        Dari segi tempat dan masa berperang, Anggayan Damit berperang dengan musuhnya Lamang Labai di satu tempat dan dalam masa beberapa jam sahaja iaitu di kawasan Bukit Sinarubai.  Di sanalah ia berhempas pulas hendak menewaskan Lamang Labai namun gagal.   Sedangkan Tuan Pemangat berperang dengan musuhnya Awang Kamaruddin di beberapa buah tempat dan memakan masa beberapa hari. Tempat-tempatnya ialah seperti di dalam istana, di halaman istana, di Bukit Perhentian, di Gunung Mega Berangkat, di Bukit Tunan dan di Gunung Mahabiru.


DANG KASUMA DENGAN TUAN PUTERI BONGSU KUMALA JAWA

            

Kedua-dua watak mempunyai tunang.  Tunang Dang Kasuma bernama Anggayan Damit yang digambarkan mempunyai harta kekayaan sebanyak 7 gedung di darat dan 7 gedung di laut.  Manakala, tunang Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa bernama Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti yang digambarkan sebagai seorang pertapa yang bertapa di Bukit Si Guntang-guntang, di hulu Negeri Jawa semenjak kecil lagi dan berguru dengan seorang guru bernama Tuan Puteri Si Raksasa Anak Hantu.
        Kedua-duanya juga mempunyai rupa paras yang cantik.  Kecantikan Dang Kasuma boleh dilihat pada bulu matanya yang lentik dan kulitnya yang putih.  Disebabkan kecantikannya, Lamang Labai telah merebutnya dari Anggayan Damit untuk dijadikan isteri.  Manakala, kecantikan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa pula diibaratkan seperti bunga melur yang baharu kembang dan wajah berseri-seri seperti wajah bulan empat belas hari.
        Kedua-dua watak terkena ilmu pemikat sehingga menyebabkan kedua-duanya dirampas dari tunangan masing-masing.  Dang Kasuma terkena ilmu pemikat Lamang Labai sewaktu melintasi titian Jalan Setapak ketika hendak menuju ke Tamu Pengkalan Tunan.  Ia terpikat dan asyik melihat  lukisan yang dilukis oleh Lamang Labai pada tanah sehingga menyebabkan Lamang Labai yang sedang bersembunyi di celah-celah semak-samun pada ketika itu dapat menangkap dan membawanya lari ke Bukit Sinarubai.   Manakala, Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa pula terkena ilmu pemikat Awang Kamaruddin sewaktu Awang Kamaruddin masuk ke dalam bilik peraduannya.  Disebabkan ilmu pemikat Awang Kamaruddin, Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa telah duduk berdua-duaan dan bermesra-mesraan dengan Awang Kamaruddin sehingga lewat malam walaupun keesokan harinya ia akan melangsungkan perkahwinannya dengan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti.
        Kedua-dua watak juga mempunyai madu.  Dang Kasuma bermadu dengan ibu kepada kepada Sultan Bongsu dan Tuan Puteri Kumala Bongsu (namanya tidak dinyatakan).   Manakala, Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa pula bermadu dengan Dang Siti Noralam yang berasal dari Bukit Surau.
        Kedua-dua watak mempunyai sikap taat kepada suami.  Ketaatan Dang Kasuma boleh dilihat melalui tindakannya setelah suaminya meninggal dunia.  Ia telah melaksanakan wasiat suaminya, Lamang Labai untuk menghantar anak-anaknya (Awang Kamaruddin dan Dang Kumala) untuk berguru dengan Raja Jin Tujuh Seperadian.  Ia juga telah mengarahkan anaknya Awang Kamaruddin untuk membongkas/membuka pertapaan buah pinang Si Gangga Wari apabila tiba masanya seperti yang telah diwasiatkan oleh suaminya.  Manakala, ketaatan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa kepada suami pula boleh dilihat apabila ia merelakan suaminya berkahwin lain (Dang Siti Noralam) sewaktu suaminya menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Dang Siti Noralam.  Menurutnya, apa yang baik bagi suaminya, itulah yang baik bagi dirinya jua.  Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa juga telah menerima Dang Siti Noralam sebagai madunya dengan baik dan telah bersama-sama suaminya untuk mendapatkan Dang Siti Noralam yang telah lari merajuk ke Bukit Si Guntang-guntang.
        Dari segi anak, Dang Kasuma melahirkan dua orang anak.  Anak pertama bernama Awang Kamaruddin, manakala, anak kedua bernama Dang Kumala.  Sedangkan, Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa cuma melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Awang Amir Shamsu.
        Dari segi status dan tempat tinggal, Dang Kasuma ialah orang biasa dan dikatakan bekerja sebagai penjual buah-buahan dan sayur-sayuran di Tamu Pengkalan Tunan.  Ia tinggal di Kampung Bukit Sinarubai.  Namun, setelah anaknya Awang Kamaruddin menjadi Raja di Negeri Timur, Dang Kasuma pun tinggal di Istana Besar Negeri Timur/Bukit Sinarubai.  Manakala, Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa pula berstatus sebagai puteri raja iaitu anak kepada Raja Jawa di negeri Jawa dengan Tuan Puteri Permaisuri Intan Mas Surai.  Ia tinggal di istana Besar Negeri Jawa, tetapi setelah berkahwin dengan Awang Kamaruddin, ia menjadi permaisuri pertama dan tinggal di Istana Besar Negeri Timur.
        Dari segi hubungan, Dang Kasuma merupakan ibu mertua kepada Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa kerana Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa merupakan isteri pertama kepada anak Dang Kasuma (Awang Kamaruddin).
        Dari segi kesaktian, Dang Kasuma dikatakan mempunyai kesaktian berbanding dengan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa.  Dang Kasuma boleh memperbesarkan saiz ajung/kapal Si Lancang Kuning Si Naga Sakti yang digunakan oleh Awang Kamaruddin untuk pergi ke Negeri Jawa bersama-sama Awang Sukaim dan Si Bujang Laila Bongsu.  Sedangkan, Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa tidak pernah digambarkan memiliki kesaktian.

AWANG SUKAIM DAN SI BUJANG LAILA BONGSU


Kedua-dua watak merupakan pengiring kepada Awang Kamaruddin jika Awang Kamaruddin hendak ke mana-mana.  Contohnya, ketika Awang Kamaruddin ke Negeri Jawa bagi mendapatkan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa dan ke Bukit Si Guntang-guntang bagi mendapatkan Dang Siti Noralam yang lari merajuk.
        Sebelum pergi ke mana-mana, mereka dipanggil oleh hamba-hamba Awang Kamaruddin.  Awang Sukaim dipanggil oleh Si Timbul, manakala, Si Bujang Laila Bongsu dipanggil oleh Si Kabul.
        Kedua-duanya ialah sepupu kepada Awang Kamaruddin.  Awang Sukaim merupakan sepupu Awang Kamaruddin dari sebelah ibunya.  Ibunya (Dang Kasuma Mata) adik beradik dengan ibu Awang Kamaruddin (Dang Kasuma).  Manakala, Si Bujang Laila Bongsu merupakan sepupu kepada Awang Kamaruddin dari sebelah bapa Awang Kamaruddin.  Nama bapa atau ibunya tidak pernah dinyatakan.
        Dari segi kehandalan, kedua-duanya memiliki keberanian yang luar biasa serta memiliki ilmu mempertahankan diri yang tinggi.  Buktinya, sewaktu Awang Kamaruddin berperang dengan Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti, mereka berdua telah berjaya menewaskan orang-orang/tentera-tentera musuh yang ramai.
        Kedua-duanya juga patuh kepada Awang Kamaruddin.  Buktinya, jika Awang Kamaruddin belum mengarahkan untuk menyerah, mereka tidak akan melanggar peraturan.  Contohnya, sewaktu mereka berada di Bukit Perhentian, mereka berdua pada mulanya hendak mengeluarkan pedang untuk membantu Awang Kamaruddin berperang, tetapi dilarang dan dibantah oleh Awang Kamaruddin.  Mereka akur dengan perintah Awang Kamaruddin kecuali setelah diarahkan berbuat demikian.
        Di antara kedua-dua watak, Si Bujang Laila Bongsu dikatakan mempunyai sikap yang lebih terbuka dan berani menegur Awang Kamaruddin.  Buktinya,  ketika ia dan Awang Sukaim pergi bersama-sama Awang Kamaruddin di Negeri Jawa, Awang Kamaruddin pernah berbohong kepada Raja Muda Indera Bongsu apabila ditanya tentang kelewatan mereka.  Awang Kamaruddin mengatakan bahawa kelewatan mereka adalah disebabkan oleh kesibukan mereka di Negeri Timur.  Si Bujang Laila Bongsu lalu menegur perbuatan Awang Kamaruddin dan mengatakan bahawa bercakap bohong itu tidak baik kerana ia sememangnya mengetahui yang mereka memang tidak mempunyai apa-apa urusan/sibuk di Negeri Timur.

TUAN PUTERI BONGSU KUMALA JAWA DAN DANG SITI NORALAM


Kedua-duanya merupakan isteri kepada Awang Kamaruddin.  Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa merupakan isteri pertama, manakala, Dang Siti Noralam merupakan isteri kedua.
        Kedua-duanya watak asalnya tinggal di istana.  Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa tinggal di Istana Besar Negeri Jawa, manakala, Dang Siti Noralam tinggal di Istana Besar Bukit Surau.
        Kedua-duanya merupakan sepupu Awang Kamaruddin dari sebelah ibu Awang Kamaruddin (Dang Kasuma).  Ibu Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa bernama Tuan Puteri Permaisuri Intan Mas Surai, manakala, ibu Dang Siti Noralam bernama Dang Kasuma Mata.
        Kedua-duanya juga mempunyai seorang abang.  Abang Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa bernama Raja Muda Indera Bongsu.  Manakala, abang Dang Siti Noralam bernama Awang Sukaim.
        Dari segi kesaktian, Dang Siti Noralam digambarkan mempunyai kesaktian berbanding dengan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa.  Ini boleh dibuktikan apabila ia dapat menukarkan dirinya menjadi pelbagai jenis burung (seperti burung Si Marak Jantan, Si Marak Nuri dan Si Jamba Wali) sewaktu terbang ke Negeri Jawa bagi membantu Awang Kamaruddin.  Dang Siti Noralam juga telah berjaya menewaskan pengikut-pengikut Tuan Pemagat Bongsu Baginda Indera Sakti, contohnya seperti Raja Betara Kala Tiga Beradik, sewaktu berada di Negeri Jawa.  Sedangkan, Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa tidak pernah digambarkan memiliki kesaktian.
        Dari segi anak, Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa mempunyai seorang anak lelaki bernama Awang Amir Shamsu, sedangkan Dang Siti Noralam tidak memperolehi seorang anak pun.
        Selain itu, perbezaan seterusnya boleh dilihat cara Awang Kamaruddin menjadikan mereka sebagai isteri.  Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa telah menjadi isteri Awang Kamaruddin sewaktu Awang Kamaruddin melakukan acara menapakkan, di Panggau Penganggunan, Istana Besar Negeri Jawa.  Pada ketika itu, Tuan Pemagat yang sepatutnya berkahwin dengan Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa. Namun atas muslihat Awang Kamaruddin, Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa telah menjadi isterinya, lebih-lebih lagi setelah ia duduk di sebelah kanan pengantin perempuan.  Manakala, Dang Siti Noralam telah menjadi isterinya setelah ia dapat membawa Dang Siti Noralam balik ke Negeri Timur.  Di sana, mereka telah melangsungkan majlis perkahwinan mereka secara besar-besaran dan meriah.  Sebelumnya, ia telah  membunuh Tuan Puteri Si Raksasa kerana telah menyembunyikan Dang Siti Noralam dalam bangsi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan